TOKYO – Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 berdepan tekanan apabila Covid-19 mula menyerang atlet dan juga kakitangan kejohanan selepas mereka disahkan positif wabak tersebut ketika saingan itu berbaki tujuh hari sebelum membuka tirai secara rasmi.
Penganjur kejohanan mendedahkan terdapat seorang atlet dan juga enam kakitangan sokongan didapati positif ketika ribuan atlet dalam perjalanan ke negara matahari terbit tersebut minggu ini.
Atlet berkenaaan yang bukan dari Jepun kini dikenakan kuarantin 14 hari dan empat kontraktor tempatan serta dua orang pegawai temasya itu turut positif wabak pembunuh tersebut.
Selain itu, staf Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), staf pasukan dari negara bertanding, penaja serta kakitangan penyiaran rasmi turut diuji positif pada Selasa lalu dan berada dalam kuarantin selama dua minggu.
Untuk rekod, bermula 1 Julai lalu sebanyak 27 kes Covid-19 dicatatkan dengan membabitkan atlet dan juga kakitangan yang terlibat dalam penganjuran di Tokyo.
Begitupun, Presiden IOC, Thomas Bach menegaskan, situasi berkenaan terkawal dan tidak ada risiko langsung bagi peserta untuk menjangkiti penduduk Jepun yang dilanda krisis wabak itu.
“Risiko untuk penduduk Jepun mendapat jangkitan yang berpunca daripada atlet dan kakitangan penganjuran adalah sifar. Begitu juga di perkampungan sukan di mana ia bebas daripada risiko jangkitan,” kata Bach.
Tambah Bach, kesemua mereka yang positif telah menjalani pengasingan kendiri termasuk kontak rapat mereka.
Antara protokol yang ditekankan untuk mengurangkan penularan wabak tersebut adalah setiap pemenang pingat perlu mengalungkan sendiri pingat yang dimenangi selain berjabat tangan juga tidak dibenarkan. – AGENSI