PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mempergiat kerja-kerja menaik taraf 10 menara di Mukim Jengai dan Mukim Pasir Raja di Dungun melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dalam usaha memberikan capaian internet yang lebih baik.
MCMC dalam kenyataan berkata, kerja-kerja menaik taraf itu dilakukan di menara sedia ada di sepanjang jajaran Kampung Minda sehingga ke Pasir Raja di bawah mukim berkenaan yang membabitkan Kampung Minda, Kampung Talong, Kampung Rantau Panjang, Kampung Kuala Jengai, Kampung Jongkok Batu, Kampung Shukor serta Kampung Pasir Raja.
“MCMC dan wakil Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bertemu dengan penduduk pada 10 Julai lalu bagi mendapatkan maklum balas berkaitan kualiti liputan, selain meninjau infrastruktur di kawasan itu.
“Tinjauan dilakukan susulan masalah liputan telekomunikasi yang lemah di Wilayah Ketengah iaitu di Kampung Minda, Kampung Talong dan Kampung Raja yang dilaporkan media pada 8 Julai lalu,” katanya di sini hari ini.
Katanya, sehingga kini, hanya satu pembekal perkhidmatan sahaja telah selesai menaik taraf menara yang sedia ada dan dapat memberikan perkhidmatan liputan 4G di kawasan tersebut.
“Kerja-kerja naik taraf menara-menara dijangka siap secara berperingkat bermula November 2021 sehingga Februari 2022 dan bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di kawasan ini.
“Di sepanjang jajaran laluan Kampung Minda sehingga ke Pasir Raja ianya telah diliputi jalinan gentian optik (UNIFI). Justeru, MCMC menyarankan agar penduduk memanfaatkan perkhidmatan ini dengan melanggan pakej yang bersesuaian,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929