SEREMBAN – Tiga rakan dijatuhi hukuman penjara antara 20 hingga 44 bulan di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas gagal membayar denda atas pertuduhan menolong menyembunyikan wang berjumlah RM270,000 milik seorang juruteknik minggu lalu.
Terdahulu, Majistret Norzaliza Tesmin menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM34,000 terhadap tertuduh pertama Muhammad Anas Mohd Amir Nasharuddin, 21, manakala tertuduh kedua, Muhammad Syafirul Haidezeman sebanyak RM24,000 dan tertuduh ketiga, Zulaikha Roslan, 22, didenda RM16,000.
Bagaimanapun kesemua mereka yang mengaku bersalah gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan dan terpaksa menjalani hukuman penjara masing-masing tiga tahun lapan bulan (44 bulan), dua tahun lapan bulan (32 bulan) dan setahun lapan bulan (20 bulan).
Dua tertuduh lelaki dikenakan hukuman di Penjara Seremban manakala tertuduh wanita dimasukkan ke Penjara Sungai Udang, Melaka hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Anas berdepan empat pertuduhan iaitu dengan curang menolong menyembunyikan wang berjumlah RM130,000 yang dimasukkan oleh penama, Mohammad Roslan Abd. Manap, 57, ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas namanya.
Muhammad Syafirul pula didakwa di atas tiga pertuduhan sama melibatkan wang berjumlah RM80,000 manakala Zulaikha berdepan dua pertuduhan sama dengan nilai RM60,000.
Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh di Maybank Bandar Baru Nilai antara 7 Julai sehingga 9 Julai 2021.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929