MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dijangka mengumumkan sasaran pingat buat Kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Isnin depan.
Reezal Merican berkata, beliau terlebih dahulu perlu mengadakan mesyuarat dengan Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum memutuskan sasaran pingat berkenaan.
“Seperti saya sudah maklumkan sebelum ini, saya akan umumkan sasaran pingat dalam tempoh seminggu sebelum Sukan Olimpik membuka tirai. Isnin depan masih dalam tempoh seminggu tersebut.
“Kita kena realistik dengan sasaran pingat kerana barisan atlet kebangsaan berdepan banyak kekangan sepanjang pandemik Covid-19 bahkan seluruh dunia.
“Pada masa sama, kita juga mahu memenuhi harapan yang disandarkan oleh rakyat Malaysia, mereka mahu mendengar dan melihat pencapaian atlet kita pada Sukan Olimpik,” kata Reezal Merican pada sidang akhbar di MSN, Bukit Jalil semalam.
Reezal Merican mengakui Sukan Olimpik Rio 2016 adalah paling bersejarah apabila meraih lima pingat dengan empat pingat perak dan satu gangsa.
Bagaimanapun, beliau tetap menegaskan bahawa Malaysia perlu realistik dengan kemampuan dan keadaan apabila menyentuh hal sasaran pingat.
“Pada saya, apa yang penting adalah kita mahu menyaksikan atlet-atlet negara beraksi dan bersungguh-sungguh berjuang pada Sukan Olimpik bukan untuk memburu pingat sahaja bahkan memecah rekod peribadi, kebangsaan, ranking dunia dan sebagainya, maka itu juga satu pencapaian,” ujarnya.