fbpx

Peng Soon mula pasang impian emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENG SOON (kiri) berharap dia dan Liu Ying mampu menebus kekecewaan ketika aksi 2016 dengan meraih emas pada temasya Olimpik kali ini.

SELEPAS merangkul pingat perak pada edisi Rio 2016, pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon meletakkan sasaran lebih tinggi pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Dia yang kini bergelar pemain profesional berharap gandingan bersama Goh Liu Ying mampu menghadirkan kilauan emas buat kontinjen negara meskipun sedar dengan cabaran yang perlu dihadapi.

Bagaimanapun, Peng Soon berkata, tahap permainan setiap pemain mungkin tidak ada banyak beza memandangkan ma­sing-masing sudah lama berehat daripada kejohanan antarabangsa gara-gara Covid-19.

Justeru, Peng Soon sedia untuk menebus kekecewaan 2016 pada edisi kali ini, namun dia enggan terlalu memikirkannya kerana mahu memberikan tumpuan satu demi satu perlawanan.

“Ini adalah Olimpik ketiga sepanjang karier saya. Memandangkan 2016 kami sudah dapatkan pingat perak, jadi kali ini mungkin kami berjuang untuk membawa pulang pingat emas.

“Walaupun letakkan sasaran tinggi tetapi kami tidak mahu terlau beri tekanan pada diri sendiri, jadi apa yang penting kami perlu fokus satu demi satu perlawanan,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Tambah Peng Soon, dia masih terkenangkan kekalahan lalu apabila tumbang di perlawanan akhir selepas tewas 14-21, 12-21 kepada pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir.

“Memang masih teringat kekalahan sebelum ini, sebab itu kami mahu tebus pada Olimpik di Tokyo walaupun tahu mereka (Tontowi-Liliyana) sudah bersara. Pemain-pemain lain juga mampu jadi pencabar buat kami.

“Memandangkan kami sudah ada pengalaman sehingga beraksi di perlawanan akhir pada 2016, jadi tekanan tidak terlalu tinggi. Oleh itu, saya fikir kami boleh hadapi saingan kali ini dengan lebih baik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI