fbpx

Momentum kebangkitan Taliban di Afghanistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DALAM pemerintahan Taliban, wanita-wanita Afghanistan dikehendaki memakai burqa.

KIRA-KIRA 20 tahun lalu pada tanggal 11 September 2001 berlaku tragedi yang menggemparkan dunia apabila empat pesawat komersial Amerika Syarikat (AS) telah dirampas dengan dua daripadanya sengaja merempuh Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York.

Hampir 3,000 orang terbunuh dalam kejadian tersebut dan AS mendakwa ia dilakukan oleh Al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden sebelum Osama mengakui serangan berani mati itu didalangi pihaknya.

Ternyata tragedi itu telah mengubah politik dunia apabila AS bertindak balas dengan menyerang Afghanistan untuk menjatuhkan kumpulan Taliban yang melindungi ahli-ahli Al-Qaeda.

Afghanistan terjerumus dalam kancah peperangan dan kerajaan Taliban telah berjaya digulingkan oleh AS dan negara itu kemudian dipimpin oleh Hamid Karzai pada tahun 2001.

Kehilangan kuasa selama kira-kira dua dekad, kini kumpulan militan Taliban nampaknya mahu kembali menguasai Afghanistan setelah tentera-tentera AS sedikit demi sedikit meninggalkan negara itu sejak 1 Mei lalu.

Taliban baru-baru ini memaklumkan pihaknya menguasai 85 peratus wilayah di Afghanistan selepas tentera-tentera asing mula meninggalkan negara itu.

KEMARAAN kumpulan Taliban disifatkan pakar politik dan krisis antarabangsa sebagai tidak dapat dihentikan. – AFP

Dalam satu sidang akhbar di Moscow, jururunding Taliban, Shahabuddin Delawar berkata, kumpulan itu kini ‘bertanggungjawab menjaga’ 85 peratus wilayah di Afghanistan meliputi 250 daripada 398 daerahnya.

“Kami juga tidak terikat dengan sebarang perjanjian untuk tidak menyerang pusat-pusat pentadbiran,” tegasnya jelas menunjukkan satu ancaman kepada pentadbiran kerajaan Afghanistan.

Shahabuddin menyatakan, pengunduran tentera AS dari negara itu membolehkan Taliban memulihkan semula prinsip-prinsip Islam di Afghanistan.

Pada minggu ini, lebih 1,000 anggota tentera Afghanistan telah lari ke Tajikistan selepas bertempur dengan Taliban di utara negara itu.

Pihak berkuasa Afghanistan bagaimanapun berikrar untuk merampas semula semua daerah yang dikuasai Taliban.

Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden dijangka akan memanggil pulang semua pasukan tentera AS yang ditempatkan di Afghanistan sebelum 11 September ini yang merupakan ulang tahun ke-20 tragedi 11 September.

Menurut Biden, seramai 2,448 tentera AS telah terkorban dan AS menghabiskan sehingga AS$2 trilion (RM8.39 trilion) untuk misi militari di Afghanistan.

“Tiba masanya untuk hentikan perang ini,” ujar Biden.

Pegawai Biden memaklumkan, langkah untuk memanggil pulang tentera itu mungkin sedikit kelewatan atas faktor logistik, namun mereka dijangka keluar dari Afghanistan sebelum 11 September ini.

Pegawai itu turut memberi amaran kepada Taliban supaya tidak menyerang pasukan tentera gabungan ketika mereka meninggalkan Afghanistan.

“Kami akan menyerang balas semula habis-habisan jika berlaku sebarang serangan,” katanya.

PENYOKONG-PENYOKONG Taliban kebanyakannya mendiami kawasan-kawasan di luar bandar Afghanistan. – AFP

Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Afghanistan, Tareq Arian mengatakan usaha sedang dilakukan untuk membebaskan kawasan yang didakwa telah dikuasai oleh Taliban.

Taliban menyerang sebahagian besar wilayah utara Afghanistan dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Pejuang Taliban juga telah menyerang sebuah penjara di pinggir kota Kandahar yang pernah menjadi kubu mereka sebelum ini.

“Pertempuran terus berlanjutan dan kami mengarahkan bantuan segera termasuk pasukan khas ke kawasan itu,” kata jurucakap polis Kandahar, Jamal Naser Barekza.

Dalam pada itu, penganalisis-penganalisis antarabangsa dari AS meramalkan bahawa ibu kota Afghanistan, Kabul akan dapat ditawan kembali oleh Taliban dalam masa satu tahun selepas AS keluar dari negara itu.

Kata mereka, kejatuhan itu tidak dapat dielakkan, namun tempohnya bergantung kepada kekuatan pertahanan pasukan keselamatan kerajaan Afghanistan sendiri.

The Wall Street Journal juga mendedahkan laporan terbaharu perisik AS menganggarkan bahawa Taliban dapat memenangi penguasaan ibu kota negara itu dalam masa enam hingga 12 bulan selepas penarikan AS dari Afghanistan.

Pakar-pakar memberi amaran bahawa kepimpinan yang lemah, rasuah dan perpecahan etnik dalam pasukan keselamatan negara itu menawarkan kelebihan kepada Taliban.

“Kejatuhan Kabul suatu yang tetap akan berlaku. Taliban adalah kumpulan yang tidak boleh dihentikan,” kata salah seorang penganalisis, Andrew Watkins.

BENDERA Amerika Syarikat (AS) diturunkan oleh tentera AS di satu kawasan di Afghanistan baru-baru ini.

Sementara itu, James Dobbins, bekas perwakilan khas AS di Afghanistan pula menjangkakan pertempuran di negara itu akan menjadi-jadi selepas ini.

“Taliban mempunyai kelebihan tertentu. Tetapi kelebihan mereka secara umumnya berlaku di kawasan luar bandar kerana penyokong-penyokong mereka di situ.

“Bagi bandar-bandar besar, ia merupakan cabaran bagi Taliban untuk kembali mendapat kuasa. Ini kerana, ramai penduduk bandar kini mempunyai pendidikan lebih baik dan lebih rumit untuk dibolosi Taliban,” jelasnya.

Tambahnya, mereka tidak mempunyai banyak sokongan di kawasan bandar dan Kabul sekarang memiliki penduduk sekitar lima juta orang lalu sulit untuk mereka mengawalnya.

Menelusuri kewujudan kumpulan Taliban di Afghanistan, ia muncul pada awal 1990-an bermula dari utara Pakistan berikutan penarikan tentera Soviet dari Afghanistan.

Taliban yang bermaksud ‘pelajar’ atau ‘penuntut’ dalam bahasa Pashto dipercayai digerakkan oleh etnik Pashtun.

Ekoran kejatuhan Republik Afghanistan Demokratik yang disokong Soviet pada tahun 1992 telah menyebabkan negara itu terjerumus dalam peperangan akibat persaingan para mujahidin.

Janji yang dibuat Taliban di kawasan berpopulasi Pashtun meliputi Pakistan dan Afghanistan pada waktu itu adalah untuk memulihkan keamanan serta menegakkan undang-undang Islam.

Memasuki ke barat daya Afghanistan, pengaruh Taliban kemudian dengan cepat meluas. Pada September 1995, kumpulan itu berjaya menawan wilayah Herat yang bersempadan dengan Iran.

Satu tahun kemudian, mereka berjaya menawan ibu kota Afghanistan, Kabul dan menggulingkan pemerintahan Presiden Burhanuddin Rabbani.
Taliban menguasai Afghanistan bermula tahun 1996.

Dalam pemerintahannya, Taliban memperkenalkan hukuman undang-undang Islam seperti pelaksanaan hukuman mati terhadap pembunuh dan penzina yang disabitkan serta amputasi bagi mereka yang didapati bersalah mencuri.

Taliban juga mengharuskan kaum lelaki menyimpan janggut, manakala wanita dikehendaki memakai burqa yang menyeluruh.

Taliban juga mengharamkan muzik, permainan layang-layang dan tidak membenarkan perempuan berusia 10 tahun ke atas pergi ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan.

Kekuasaan semula Taliban ke atas Afghanistan menimbulkan keresahan kepada para wanita khususnya kerana merasakan bakal kehilangan kebebasan yang diperolehi sejak tahun 2001.

Seorang wanita Afghanistan, Sultana Karimi berkata, kehidupan mereka akan musnah jika Taliban menguasai semula negara itu.

“Wanita-wanita akan kembali hidup bersembunyi dan kami semua akan dipaksa memakai burqa jika keluar rumah,” kata Karimi yang merupakan pengusaha salon kecantikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI