GEORGE TOWN – Polis akan mengeluarkan kompaun terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor dalam masa terdekat selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan memandu uji sebuah kenderaan di Auto City Juru, Bukit Mertajam dekat sini bulan lepas.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya telah menerima arahan untuk mengeluarkan kompaun ke atas Muhammad Sanusi.
“Pengesahan arahan telah diterima dan akan disampaikan kepada pejabat Menteri Besar dalam masa terdekat.
“Maklumat lanjut akan diberikan setelah arahan tersebut dipanjangkan kepada Menteri Besar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, kenyataan rasmi daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang akan dikeluarkan setelah proses penyerahan dilakukan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang.
Siasatan kes itu dijalankan menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Terdahulu pada 5 Jun lepas, tular di media sosial beberapa keping gambar dan video memaparkan individu dipercayai Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kenderaan pikap sedangkan negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh, manakala pameran kenderaan tidak dibenarkan beroperasi. – K! ONLINE.