MUNICH – Legenda bola sepak Jerman, Lothar Matthaus mengakui beliau langsung tidak bersimpati dengan pasukan England yang tewas kepada Itali pada perlawanan akhir Euro 2020 di Stadium Wembley Isnin lalu.
Sebaliknya, bekas pemenang Ballon d’Or itu mendakwa skuad The Three Lions dan penyokongnya wajar dibelenggu badi apabila langsung tidak menunjukkan rasa hormat kepada pasukan lawan sepanjang kejohanan berlangsung.
Paling membuatkan beliau terkesan adalah seorang peminat cilik Jerman dihina dan dikutuk penyokong England kerana menangis selepas pasukannya tersingkir pada pusingan 16 pasukan terbaik.
Selain itu, Matthaus juga kurang senang dengan sikap penyokong-penyokong England yang sering mengejek serta tidak menghormati lagu kebangsaan negara lain ketika ia dimainkan sebelum sepak mula.
“Penyokong England melayan kanak-kanak perempuan itu seperti musuh ketika Jerman tewas. Mereka juga tidak menunjukkan sebarang rasa hormat terhadap lagu kebangsaan negara lain.
“Saya simpati dengan pemain-pemain England tetapi mereka layak untuk dihantui rasa trauma ini sepanjang hidup, selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti aksi tersebut,” luah beliau.
Selain itu, Matthaus juga menganggap tindakan penyokong England mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pemain-pemain sendiri sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima. – AGENSI