PETALING JAYA – Cooling Energy Supply Sdn. Bhd. (CESSB), syarikat usaha sama antara Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) telah memulakan operasi dan penyelenggaraan loji penyejukan daerah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 Julai lalu.
CESSB dimiliki oleh anak syarikat milik penuh TNB, TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. (TNEC) sebanyak 70 peratus, manakala baki dipegang oleh anak syarikat milik penuh MAHB, Airport Ventures Sdn.Bhd.
CESSB telah ditubuhkan tahun lalu bagi membekal tenaga elektrik dan penyejukan kepada lapangan terbang tersebut.
Pengerusi TNEC, Lim Fu Yen berkata, kerjasama antara TNB dan MAHB akan menyerlahkan aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.
“Kami yakin usaha sama ini bakal menyumbang dengan ketara dan positif terhadap kepuasan pelanggan bagi penumpang yang menggunakan KLIA,” katanya dalam kenyataan semalam.
Di bawah perjanjian konsesi 20 tahun yang dimeterai kedua-dua pihak, CESSB akan mengendali, menyelenggara dan menaik taraf loji penyejukan daerah sedia ada yang merupakan antara yang terbesar di Malaysia.
Syarikat usaha sama ini juga akan menjual, mengagih dan membekalkan tenaga elektrik dan penyejukan kepada pelanggan di KLIA dan sekitarnya menggunakan teknologi moden, efisien dan berdaya harap.
Menurut Fu Yen, usaha sama ini penting bukan sahaja untuk dua Kumpulan berkenaan tetapi juga akan memodenkan loji penyejukan daerah di KLIA dan menyatukan keperluan tenaga di bawah pembekal yang sama memandangkan TNEC juga membekalkan tenaga elektrik dan penyejukan untuk KLIA2.
CESSB akan menaik taraf loji sedia ada yang berkuasa gas kepada loji yang menggunakan elektrik sepenuhnya.
Sehubungan itu, loji tersebut akan menghasilkan tenaga penyejukan dengan lebih efisien seterusnya mengurangkan kos operasi KLIA sehingga lebih RM50 juta setahun.