PETALING JAYA – Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pemerasan terhadap dua individu warga tempatan semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten, Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan berhubung kejadian dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis daripada seorang lelaki berusia 27 tahun kira-kira pukul 1 pagi tadi.
“Pengadu yang bekerja sebagai penyelenggara lampu jalan mendakwa telah ditahan oleh sebuah kereta peronda polis ketika dalam perjalanan ke tempat kerja bersama rakan sekerjanya di kawasan Petaling Jaya dan dikatakan telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Mereka dimaklumkan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 kerana menaiki kenderaan melebihi had yang ditetapkan dan telah diarahkan menghubungi majikan untuk bercakap dengan anggota polis tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Fakhrudin, anggota polis berkenaan kemudiannya telah meminta pengadu memberikan wang sebanyak RM200 dan pengadu yang tidak berpuas hati dengan tindakan anggota polis tersebut kemudiannya telah memuat naik satu kenyataan di laman sosial Twitter.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah membuat tangkapan ke atas dua anggota polis tersebut kira-kira pukul 2.45 pagi tadi dan turut merampas wang tunai RM200 yang disyaki hasil pemerasan ke atas pengadu.
“Kedua-dua anggota polis yang bertugas di IPD Petaling Jaya itu akan dibawa ke hadapan Majistret untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” tegas beliau. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929