fbpx

Awasi anak main bunga api, jangan menangis belakang hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WALAUPUN bermain bunga api dikatakan kurang berbahaya berbanding mercun, namun risiko untuk mengalami kecederaan tetap ada. – GAMBAR HIASAN

HARI Raya Aidiladha yang bakal menjelang Selasa depan pastinya agak suram disebabkan tiada aktiviti merentas daerah mahupun negeri dibenarkan untuk pulang ke kampung ekoran jumlah mereka yang positif Covid-19 masih tinggi.

Bagi mengubati kesuraman tersebut, pastinya ada segelintir individu menggunakan pelbagai cara untuk memeriahkan sambutan Hari Raya Aidiladha masing-masing. Antaranya ada yang mengambil kesempatan bermain mercun dan bunga api.

Dalam keseronokan tersebut, mereka kadangkala alpa sehingga berlaku kejadian tidak diingini. Ramai dalam kalangan ibu bapa membenarkan anak-anak mereka bermain bunga api kerana beranggapan ia kurang berbahaya berbanding mercun.

Justeru, Pakar Perunding Perubatan Trauma dan Kecemasan, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Shah Jahan Mohd. Yussof menggesa ibu bapa supaya memantau aktiviti anak-anak mereka ketika bermain bunga api.

“Sebenarnya budaya bermain mercun dan bunga api pada hari raya hanya menjadi ikutan di Malaysia dan beberapa negara jiran sahaja.

“Jika dilihat setiap tahun, pasti ada sahaja kes kecederaan akibat bermain bunga api dan mercun.

“Lebih menyayat hati, kebanyakan mangsa yang saya temui adalah kanakkanak berusia di bawah 12 tahun,” katanya.

Menurut Dr. Shah Jahan, kebiasaannya tangan, badan dan muka adalah anggota tubuh yang sering tercedera akibat bermain mercun dan bunga api.

Katanya, antara jenis mercun yang boleh memudaratkan adalah jenis roket dan letupan.

“Kes paling teruk yang saya pernah kendalikan adalah kecacatan kekal pada tangan dan buta kekal. Apa yang menyedihkan, kesemua mangsa masih kecil dan bersekolah rendah.

“Dalam sesetengah kes, mercun yang dinyalakan dan hendak dicampakkan itu meletup sebelum masa jangkauannya.

“Apabila mangsa menggunakan tangan lebih dominan untuk membaling mercun, kecederaan tidak dapat dipulihkan sepenuhnya hingga mengakibatkan kecacatan kekal,” terangnya.

DR. SHAH JAHAN menasihatkan ibu bapa agar memantau anak-anak ketika bermain mercun, bunga api bagi mengelakkan perkara tidak diingin berlaku.

Sekiranya ibu bapa membenarkan anak-anak mereka untuk bermain bunga api sahaja dan bukannya mercun, mereka disarankan untuk mengambil tiga langkah utama.

Katanya, pertama sekali, perlu ada pengawasan ibu bapa atau orang dewasa setiap kali anak-anak bermain bunga api dan jangan sekali-kali membiarkan mereka melakukan aktiviti itu bersendirian.

“Kedua, pastikan tempat bermain bunga api itu luas terbuka dan mempunyai pengudaraan yang baik.

“Pembakaran bunga api di tempat sempit dan tertutup bukan sahaja meningkatkan risiko berlaku kecederaan, malah boleh menyebabkan pendedahan kepada sedutan asap beracun seperti karbon monoksida yang boleh mengganggu pernafasan dan kesihatan.

“Akhir sekali, pastikan kanak-kanak memakai pakaian bersesuaian ketika bermain bunga api. Elakkan pakaian panjang dan labuh supaya tidak mudah dijilat api. Jenis fabrik juga perlu bersesuaian memandangkan ada yang mudah terbakar,” ulasnya.

Sekiranya berlaku kecederaan, Dr.Shah Jahan menyarankan supaya ibu bapa dan penjaga jangan panik dan mempraktikkan langkah-langkah kecemasan dengan betul.

Apabila berlaku lecuran akibat kebakaran tanpa pendarahan aktif, ujarnya, alirkan air yang bersih ke atas kesan lecuran tersebut sekurang-kurangnya 20 minit tanpa henti.

Jelasnya, selain daripada mengurangkan tahap kecederaan pada tisu kulit, tindakan ini juga boleh membersihkan bahan-bahan asing dan mengurangkan risiko jangkitan kerana permukaan kulit tersebut sudah terdedah.

“Jangan meletak sebarang ubat ke atas lecuran kerana ia berkemungkinan boleh memudaratkan mangsa.

“Sekiranya berlaku pendarahan, gunakan kain kering yang bersih dan tekapkan ke atas luka tersebut bagi menghentikan pendarahan sementara menunggu mangsa diberikan rawatan di hospital,” ujarnya.

Dalam kes yang melibatkan kecederaan di kepala, sama ada hentakan atau terkena serpihan bunga api dan mercun, Dr. Shah Jahan menggesa supaya mangsa terus dikejarkan ke hospital kerana berkemungkinan boleh berlaku kes kecederaan trauma di kepala yang mana mangsa boleh pengsan.

“Jangan pandang ringan situasi ini kerana ada kemungkinan ia boleh mengakibatkan kecacatan serius ataupun kematian.

“Sebab itu saya tegaskan, rawatan yang terbaik adalah pencegahan. Jangan bermain mercun kerana ia boleh memudaratkan,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI