CRESTWOOD, KENTUCKY – Seorang wanita di Amerika Syarikat mendedahkan taktik licik bapanya yang menamakannya sempena nama perempuan simpanan lelaki tersebut bagi mengelakkan rahsia kecurangan terbongkar, lapor portal berita MailOnline semalam.
Kristina Fletcher, 31, berkata, nama itu dipilih oleh bapanya agar ibunya tidak mengesyaki kecurangannya sekiranya dia tersilap memanggil nama ibunya dengan nama Kristina.
“Kebanyakan orang diberi nama bersempena sesuatu yang istimewa atau ada kisah menarik di sebaliknya, namun tidak bagi saya,” kata Fletcher dalam satu video di TikTok.
Menurut wanita itu, ketika ibunya sedang hamil , ibu dan bapanya membuat perjanjian bahawa sekiranya anak yang dilahirkan ialah perempuan, maka bapanya akan memberi nama bayi tersebut.
“Selepas saya dilahirkan secara pembedahan, ibu saya dalam keadaan lemah akibat kesan ubat, jadi, bapa saya menyelesaikan segala urusan dokumentasi.
“Akhirnya, dia mendaftarkan nama saya sebagai Kristina dan ibu saya pun bersetuju dengan nama tersebut,” ujarnya.
Tambah Fletcher, semua perkara berjalan dengan lancar sehinggalah beberapa bulan kemudian, apabila ibunya mendapat tahu bahawa bapanya berlaku curang.
“Cuba teka siapa nama perempuan (kekasih bapa) itu? Kristina.
“Jadi, jika dia tersilap memanggil ibu saya dengan nama Kristina, dia boleh menipu dan berkata bahawa dia bercakap tentang saya,” katanya.
Fletcher turut menjelaskan, bapanya telah meninggalkan ibunya ketika dia berumur tiga tahun, dan sejak itu, lelaki tersebut tidak pernah menghubunginya dan adik-adiknya sehingga mereka dewasa.
Video yang dimuat naik itu menjadi tular dan menerima 680,000 tontonan serta mendapat ribuan komen daripada pengguna TikTok lain yang turut berkongsi kisah di sebalik nama.
“Sepupu saya dinamakan bersempena dengan nama pengedar dadah kegemaran bapanya,” tulis seorang netizen. – AGENSI