TOKYO – Kluster Covid-19 dikesan di sebuah hotel yang menempatkan sejumlah atlet dari Brazil sekali gus menyebabkan kebimbangan penularan ketika Sukan Olimpik Tokyo, Jepun kini hanya berbaki lapan hari sebelum membuka tirai secara rasmi pada 23 Julai ini.
Pegawai kesihatan dan sukan bandar Hamamatsu, Yoshinobu Sawada mendedahkan, tujuh kakitangan hotel di bandar tersebut positif Covid-19 selepas pihaknya menjalankan saringan.
Malangnya, hotel berkenaan menempatkan 31 delegasi Brazil termasuk atlet judo, namun kesemua mereka didapati tidak mempunyai kontak rapat dengan pihak luar mahupun kakitangan hotel selepas mereka berada dalam gelembung sukan.
Pakar perubatan mengakui bimbang dengan situasi berkenaan dan menyifatkan konsep gelembung sukan yang dipraktikan mungkin tidak ketat sekali gus mewujudkan peluang untuk penularan jangkitan.
“Kini hanya kakitangan yang disahkan negatif selepas ujian dilakukan dibenarkan untuk bekerja.
“Kami turut menjelaskan kepada pasukan negara yang berada di hotel ini bahawa hanya pekerja yang sihat dibenar berada dalam gelembung. Kami fikir mereka faham dengan situasi dan langkah-langkah pencegahan jangkitan,” katanya.
Tokyo sebelum ini mengumumkan perintah darurat selepas mencatatkan peningkatan penularan Covid-19 sehingga 1,149 kes pada Rabu dan tertinggi sejak Januari lalu.
Tuan rumah juga mengarahkan tiada kemasukan penonton pada penganjuran Sukan Olimpik kali ini meskipun pada awalnya membenarkan rakyat tempatan untuk menyaksikan temasya empat tahun sekali itu.
Kira-kira 8,000 delegasi termasuk atlet telah tiba ke Tokyo dari 1 hingga 13 Julai lalu. Selepas melakukan pemeriksaan hanya tiga didapati positif sekali gus diarahkan untuk diasingkan. – AGENSI