PETALING JAYA – Tiga lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan dua warga Myanmar dipercayai tekong darat ditahan pasukan polis dari Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Benteng, semalam, di Sungai Tekali, Hulu Langat.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 28 dan 39 tahun dipercayai tekong darat dan berperanan sebagai ‘transporter’ membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) dari sempadan.
“Pada pukul 3 petang semalam, pasukan polis telah berjaya menahan dua buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemukan seorang lelaki dan empat perempuan Rohingya berusia 14 hingga 19 tahun bersembunyi di belakang kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, mereka dipercayai PATI yang baru memasuki negara melalui jalan yang tidak diwartakan susulan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah kepada pihak berkuasa.
Tambah Rizal, polis turut merampas dua buah kenderaan dan telefon bimbit pelbagai jenama dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM52,500.
“Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Kajang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1963,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929