fbpx

Tiada surat rentas daerah, lelaki nekad berenang ke Seberang Perai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki nekad berenang ke Seberang Perai, Isnin lalu.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki mengambil keputusan nekad untuk berenang merentasi Selat Pulau Pinang sejauh kira-kira tiga kilometer untuk ke Seberang Perai dekat sini Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, lelaki berusia 28 tahun tersebut bertindak demikian kerana tidak mempunyai surat rentas daerah bagi menuju ke kawasan tanah besar itu dari bandar raya ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, siasatan pihaknya mendapati lelaki itu telah nekad terjun ke dalam laut dari Tanjung City Marina dan cuba berenang menuju ke Seberang Perai.

“Namun, dipercayai akibat kepenatan, dia telah berpatah balik menghala ke tempat pejalan kaki jeti feri sebelum berjaya diselamatkan oleh petugas Penang Port Sdn. Bhd.

“Lelaki itu memberitahu di nekad berenang untuk berjumpa rakannya selepas gagal mendapatkan kelulusan permit rentas daerah daripada pihak polis kerana tiada alasan munasabah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Soffian berkata, semasa diselamatkan, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada lelaki yang tidak bekerja itu dan hanya menyatakan butiran peribadi secara lisan.

“Menurut ibunya, dia yang berasal dari Bayan Lepas itu sudah lama tidak balik ke rumah dan dipercayai hidup sebagai gelandangan selain didakwa merupakan penagih tegar.

“Dia dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan pemeriksaan doktor mendapati lelaki itu mengalami patah tangan kanan,” katanya.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial semalam selepas beberapa video dan gambar aksi lelaki itu dimuat naik ke Facebook. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI