PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Muhammad mengesahkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz datang ke kediamannya pada Isnin lalu bagi membincangkan cara untuk menangani pandemik Covid-19.
Beliau berkata, Tengku Zafrul yang juga merupakan Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) itu hadir kira-kira pukul 6 petang dan berbincang bersama Mahathir selama satu jam.
“Tengku Zafrul datang ke rumah saya pada Isnin baru-baru ini pukul 6 petang, dia datang dan kita adakan perbincangan selama satu jam,” katanya ketika sidang akhbar secara langsung di laman Facebooknya tadi.
Beliau juga menafikan terdapat sebarang pelawaan untuk dirinya menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) semasa perjumpaan itu.
“Tidak sekali pun disebut mengenai Pejuang, ini khusus untuk tangani masalah Covid-19. Tiada jemputan untuk saya menyertai badan yang ditubuh oleh kerajaan cuma ditanya macam mana nak tangani pandemik ini.
“Saya juga tidak mengadakan sebarang mesyuarat dengan mana-mana menteri, cuma saya akui ada berhubung dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk meminta bekalan vaksin bagi penduduk Langkawi,” katanya.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa ada perjumpaan antara dirinya dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929