fbpx

Sabar saya ada had, tolong bayar ganti rugi – Siti Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI SARAH membuat satu laporan polis berhubung penipuan individu yang menyamar sebagai ejen jualannya.

PETALING JAYA – Penyanyi juga usahawan popular, Siti Sarah memberi tempoh selama 48 jam bermula hari ini kepada seorang wanita untuk tampil ke depan bagi menyelesaikan masalah berikutan aktiviti penipuan yang dilakukan sehingga menjejaskan nama baik perniagaannya.

Sarah yang juga isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu itu berkata, wanita terbabit dikenal pasti telah menjalankan penipuan dengan menyamar sebagai ejen ‘dropship’ dan mengambil bayaran daripada pesanan pelanggan yang telah membeli barangan jualan syarikatnya, Loveta Sdn. Bhd, namun tiada penghantaran barang dibuat.

Susulan itu, Sarah telah membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor yang diwakili Pegawai Pemasaran Loveta Sdn. Bhd. Sarah berharap, dalam tempoh 48 jam yang diberikan, individu terbabit turut melakukan permohonan maaf kepadanya.

Ujar Sarah, pihaknya telah menerima beberapa kiriman mesej peribadi daripada pelanggan menerusi akaun Instagram rasmi, LovetaHQ yang mengadu masih belum mendapat produk yang dibeli daripada individu terbabit walaupun pembayaran pra pesanan (preorder) telah pun dibuat.

Sarah berkata, kes sebegitu membuatkan dia berasa terkilan dan marah apabila nama baiknya dan perniagaan yang diusahakan terjejas gara-gara penipuan.

“Saya dimaklumkan tentang penipuan tersebut semalam oleh pekerja dan terus memintanya untuk membuat laporan polis. Bagi saya apa yang dilakukan oleh individu terbabit, dipercayai seorang wanita itu adalah satu kesalahan besar kerana melakukan penipuan.

“Difahamkan, wanita terbabit telah meminta bayaran pra pesanan daripada pelanggan untuk membeli produk saya, sedangkan pihak kami tidak menerima sebarang pesanan masuk daripada pihaknya.

“Setakat ini sudah ada empat pelanggan yang tampil mendakwa belum menerima produk yang dibeli walaupun bayaran sudah dibuat. Pihak saya cuba menghubunginya selepas laporan polis dibuat semalam, tapi masih belum ada sebarang maklum balas daripada individu terbabit,” jelasnya dalam satu sidang virtual, sejali gus menjawab teka-teki ramai tentang satu laporan polis yang dibuatnya semalam.

Dalam sidang media sama, Sarah berkata, dia tidak menyangka apabila niatnya untuk membantu orang lain menjana pendapatan bertukar menjadi kes penipuan atau scammer.

“Niat saya untuk membantu individu lain menjana pendapatan tambahan. Kesabaran saya ada batasnya. Sekarang ini ramai yang susah sehingga hendak makan pun tiada duit. Tiba-tiba terima berita ada individu menggunakan nama perniagaan saya untuk menipu. Kesabaran saya ada batas.

“Kini sudah tiba masanya untuk saya lebih tegas kerana saya buat perniagaan ini bukan untuk aniaya orang tapi nak tolong mereka yang benar-benar nak ubah nasib hidup,” katanya. -K! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI