ALOR GAJAH – Majikan diarahkan untuk segera memindahkan pekerja warga asing dari taman perumahan ke asrama dan bangunan berasingan bagi mengawal penularan Covid-19 membabitkan kluster industri di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, langkah tersebut telah diputuskan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Katanya, majikan boleh memindahkan pekerja mereka ke beberapa lokasi yang telah dikenal pasti termasuklah bangunan Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dan berdekatan Melaka Sentral yang boleh menampung kira-kira 1,400 orang.
“Keputusan ini dibuat kerana bimbang kluster industri membabitkan pekerja warga asing menular kepada penduduk setempat.
“Jadi, kita arahkan majikan untuk segera memindahkan pekerja mereka yang kini menetap di kawasan perumahan ke asrama dan bangunan disenaraikan,”katanya.
Sulaiman berkata demikian ketika meninjau pelaksanaan program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi di Kompleks JAPERUN Kuala Linggi, di Kuala Linggi, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Melaka, Habibah Jaafar.
Mengulas lanjut, beliau turut menjelaskan, majikan sekurang-kurangnya perlu memindahkan separuh daripada pekerja warga asing ke penempatan tersebut.
“Sebagai contoh, sekiranya di kawasan Perindustrian Ayer Keroh mempunyai hampir 3,000 pekerja warga asing, lebih 1,000 perlu dipindahkan ke asrama.
“Majikan yang enggan mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) termasuk penutupan kilang jika ingkar.
Sulaiman berkata, kerajaan negeri berharap semua majikan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dan Jawatankuasa Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan terus memantau semua kilang yang beroperasi.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929