MANHATTAN, NEW YORK – Sebuah restoran di New York memecahkan Guinness World Record menjual kentang goreng paling mahal di dunia pada harga AS$200 (RM840), lapor laman berita United Press International semalam.
Menu baharu rekaan Pengarah Kreatif dan Cef, Joe Calderone serta Cef Eksekutif Korporat, Frederick Schoen-Kiewert dari Restoran Serendipity3 dinamakan Creme de la Creme Pommes Frites.
Ia dihasilkan bersempena dengan sambutan Hari Kentang Goreng Kebangsaan yang diraikan semalam.
Menggunakan kentang berjenama popular, Chipperbec, menu itu turut mengandungi pelbagai bahan premium lain termasuk lemak angsa liar dari Perancis, keju Crete Senesi Pecorino Tartufello dan serbuk emas 23 karat yang boleh dimakan.
Menurut Calderone, pihaknya mengambil masa selama tiga bulan untuk menghasilkan hidangan tersebut.
“Ia kedengaran mudah untuk mencampurkan kesemua bahan premium dan kemudiannya menggelarnya sebagai hidangan yang mahal.
“Bagaimanapun, kami mementingkan sains di sebalik sesebuah masakan itu serta menjadikannya sebagai bukan sahaja kentang goreng paling mahal malah mempunyai rasa paling enak di dunia,” katanya. – AGENSI