fbpx

Gesa Sidang DUN Terengganu disegerakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU – Badan Perhubungan UMNO Terengganu menggesa agar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri dilangsungkan pada masa terdekat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata, Pejabat DUN negeri masih belum menetapkan tarikh persidangan tersebut walaupun sudah banyak negeri-negeri lain berbuat demikian.

“Setakat ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu masih belum menerima apa-apa maklumat (Sidang DUN) sedangkan negeri-negeri lain didahului Johor telah mengisytiharkan tarikh persidangan DUN masing-masing.

“Ia tidak boleh ditangguhkan lebih lama lagi kerana banyak isu membabitkan kepentingan rakyat hendak dibangkitkan (di Sidang DUN),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ahmad yang juga ADUN Kijal berkata, kerajaan negeri Terengganu tidak boleh memberi alasan menunggu prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Persidangan DUN daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana Parlimen pun sudah mengumumkan tarikh bersidang.

Tambahnya, secara peribadi, beliau merasakan tiada masalah untuk melangsungkan Sidang DUN mengikut SOP norma baharu kerana kesemua ADUN Terengganu telah melengkapkan dua dos vaksinasi Covid-19 masing-masing.

“Kalau kilang dan pasar boleh dibuka, kenapa tidak sidang DUN? Lagipun Terengganu kini sudah berada pada fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI