KOTA BHARU – Membunyikan hon dan saling ejek-mengejek dipercayai menjadi punca seorang buruh dipukul beramai-ramai dalam kejadian di tepi Jalan Pasir Tumboh di sini kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu berlaku ketika mangsa yang berusia 30 tahun sedang berjalan kaki pulang dari tempat kerjanya di Lundang di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan mendapati, mangsa didatangi sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki dan tiga orang penumpang wanita yang membunyikan hon terhadapnya apabila tiba di lokasi tersebut.
Katanya, mangsa mengenali pemandu MPV itu sebelum berlaku pertengkaran dan ejek-mengejek antara mereka.
“Daripada pertengkaran itu, mangsa dipercayai telah menendang bahagian depan kereta lelaki tersebut.
Berita berkaitan: Bertumbuk tepi jalan di Pasir Tumbuh
“Keadaan semakin tidak terkawal apabila pemandu bersama seorang penumpang wanita MPV berkenaan telah bertindak berani dengan memukul mangsa. Selain dipukul oleh dua suspek dikenal pasti, mangsa juga dipercayai dibelasah oleh orang ramai yang berada di tepi jalan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Abdul Rahim, pergaduhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka dan badan sebelum dibawa untuk menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.
Katanya, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Kubang Kerian di sini pada pukul 9.30 pagi semalam.
Berita berkaitan: Hanya mangsa tampil buat laporan polis
“Setakat ini, polis masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar pergaduhan itu berlaku kerana pemandu MPV dan penumpangnya masih belum tampil membuat laporan.
Menurut Abdul Rahim, kes disiasat Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi tiga minit 38 saat menunjukkan insiden pergaduhan melibatkan pengguna jalan raya tular di media sosial sejak malam kelmarin.