LABUAN – Polis menahan dua remaja berusia 18 tahun selepas memecah masuk rumah seorang warga emas dalam kejadian di Kampung Sungai Lada semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, kedua-dua remaja berkenaan dikatakan sempat mencuri sebuah iPad milik bekas kapten kapal berusia 78 tahun yang tinggal di rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, bagaimanapun kejadian berkenaan sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum pemilik rumah membuat laporan polis.
“Menerusi rakaman CCTV, kita mendapati seorang lelaki tidak dikenali masuk ke bahagian pintu belakang rumah yang tidak berkunci.
“Bertindak atas laporan dan maklumat, polis berjaya menahan suspek pertama yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Labuan pada pukul 1.20 pagi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad menyatakan penahanan suspek pertama kemudiannya membawa kepada penahanan suspek kedua di sebuah rumah di Taman Mutiara. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929