JAGUH berbasikal negara, Azizulhasni Awang berbekalkan lebih daripada 10 strategi menjelang Sukan Olimpik 2020 Tokyo, Jepun dalam memastikan Malaysia mampu menuai kilauan pingat pada temasya sukan terbesar dunia tersebut.
Raja pecut berbasikal negara itu melakar sejarah apabila menjadi pelumba basikal pertama negara memenangi pingat pada Sukan Olimpik 2016 Rio selepas meraih pingat gangsa.
Justeru, atlet kelahiran Terengganu itu menyifatkan dia bersedia untuk menghadapi situasi mencabar sewaktu memulakan kayuhan di Velodrome Izu di Shizuoka pada 4 hingga 8 Ogos nanti.
“Apa yang saya boleh katakan, tiada spesifik strategi kerana dalam acara kirin ini kita perlu ada banyak perancangan bukan satu sahaja tetapi mungkin lima hingga 10 strategi berbeza. Hal ini kerana, dalam perlumbaan kita tidak tahu apa yang berlaku.
“Mungkin kita boleh kawal keadaan diri dan kawal strategi yang kita mahu gunakan tetapi disebabkan kita berdepan enam pelumba di final, kita tidak tahu apa strategi yang akan digunakan pihak lawan.
“Sebab itu penting untuk kita ada banyak strategi dan saya akan bersedia kerana sukan berbasikal ini bukan macam sesetengah sukan. Kalau kalah satu mata kita boleh kejar semula.
Sukan berbasikal ini perlu reaksi cepat dan strategi itu sudah ada dalam fikiran saya,” katanya menerusi sidang akhbar secara maya semalam.
Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ tersebut mengakui dia telah meningkatkan berat badan untuk memastikan mampu melakukan henjutan lebih 100 peratus di Tokyo nanti.
“Apa yang membezakan saya sewaktu Olimpik nanti adalah faktor fizikal saya. Saya cuba menambah berat badan untuk meningkatkan kuasa henjutan saya. Apabila kuasa henjutan tinggi kita boleh gunakan gear yang besar untuk mengejar pelumba Eropah yang mempunyai fizikal besar.
“Saya sudah buat persiapan tersebut dan apa juga cabaran yang menanti pada Sukan Olimpik Tokyo, saya sudah bersedia,” tambahnya.