WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Joe Biden mengumumkan rancangan untuk memindahkan rakyat Afghanistan yang pernah membantu tentera Amerika Syarikat memerangi kumpulan Taliban, lapor akhbar New York Post semalam.
Misi tersebut dinamakan Operasi Perlindungan Sekutu (OAR).
Penerbangan pertama membawa rakyat Afghanistan tersebut akan bermula hujung bulan ini menjelang tarikh akhir pengunduran tentera AS pada 31 Ogos 2021.
Seorang pegawai kanan Washington berkata, OAR bertujuan membantu penempatan semula warganegara Afghanistan yang berminat serta layak termasuk keluarga masing-masing sebagai mengenang jasa mereka menolong askar AS.
“Penerbangan dari Afghanistan untuk pemohon di bawah kategori visa imigran khas ini akan bermula pada minggu terakhir bulan ini,” katanya.
Bagaimanapun, Biden dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa rakyat Afghanistan yang dibawa keluar itu perlu menjalani pemeriksaan di negara ketiga sebelum dibenarkan masuk ke AS.
“Operasi OAR akan diketuai oleh Tracey Jacobson yang pernah menjadi utusan AS di Tajikistan, Turkmenistan dan Kosovo,” kata pegawai kanan pentadbiran Biden.
Biden mengumumkan pada April lalu bahawa tentera AS akan meninggalkan Afghanistan sebelum ulang tahun ke-20 pencerobohan AS di negara itu. – Agensi