ANTARA perkara yang menggembirakan peminat filem termasuklah penulis pada tahun lalu adalah perkhabaran bahawa naskhah A Quiet Place 2 akan ditayangkan sekitar Mac 2021, namun Covid-19 meranapkan penantian tersebut.
Sehinggalah setahun kemudian, filem arahan John Krasinski dijanjikan menemui peminat dan direalisasikan walaupun dunia pawagam sekarang teramatlah lesu berbanding sebelum kedatangan Covid.
Sekuel pertama A Quiet Place (2018) merupakan antara filem kegemaran penulis. Memasuki sekuel kedua, semestinya naskhah berkenaan antara yang paling dinantikan tahun ini.
Versi pertama sudah membukti daya kepengarahan Krasinski, manakala kesinambungan kali ini menguatkan lagi pernyataan tersebut.
Persembahan cemerlang
Dari segi terjemahan watak, Emily Blunt yang sekali lagi memikul karakter Evelyn Abbott sememangnya hebat.
Bahkan dia merupakan aspek terbaik untuk keseluruhan kualiti filem. Cillian Murphy yang memegang watak Emmett merupakan satu lagi penambahan kecemerlangan untuk francais berkenaan.
Millicent Simmonds yang melakonkan watak anak kepada Evelyn, seorang kanak-kanak perempuan yang memiliki masalah pendengaran juga menjalankan peranan dengan baik.
Dari segi pacuan adrenalin, seperti filem pertama, naskhah kedua juga cukup tahu bagaimana untuk membuatkan penonton tergeliat dan curi-curi tengok melalui celahan jari.
Adrenalin cemerlang disuntik daripada awal filem hinggalah ke babak akhir. Krasinski tahu benar apa yang ingin dicernakan dalam bentuk tekanan dalam filem.
Dia tahu jenis-jenis konflik terbaik yang harus diterjemahkan demi momentum setanding dalam sambungan ceritanya.
Tidak banyak filem yang berjaya apabila memasuki ‘fasa’ sekuel tetapi A Quiet Place 2 boleh dikecualikan dalam perihal tersebut.
Seperkara yang tidak harus dilupakan fokus terhadap perkembangan watak Evelyn, Emmet, Regan dan Marcus.
Naskhah berkenaan tidak kelihatan terlalu mencuba untuk menjadi lebih besar atau baik dari yang pertama.
Sebenarnya, subjek yang diketengahkan sudah besar dan baik, namun dari segi plot atau kualiti pengarahan, tidak banyak penegasan literal ke arah itu.
Cerita asal
A Quiet Place 2 juga membawa penonton bertemu semula dengan penceritaan asal, latar belakang kehadiran makhluk-makhluk jahat dalam filem berkenaan.
Aspek tersebut sebenarnya jarang berlaku dalam kebanyakan naskhah berstatus sekuel, namun tidak menerusi A Quiet Place.
Dua filem arahan Krasinski telah membuktikan dia seorang sutradara yang hebat. Penulis secara peribadi tidak sabar untuk melihat lelaki itu terus berkarya bukan hanya dalam francais A Quiet Place bahkan naskhah lain.
A Quiet Place 2 merupakan satu filem yang hebat, segar, penuh dengan babak mencemaskan, sekali gus menjadi sebuah sekuel yang hampir sebagus versi pertama.
Ada yang berpendapat, A Quiet Place tidak lagi ‘quite’ (diam), jika dalam filem kedua, semua makhluk mengerikan dientitikan dalam bentuk penuh. Namun itu semua terpulang kepada pendapat masing-masing.
Biarpun penamatnya sedikit tergantung, namun kelemahan itu bukan satu kekurangan besar, A Quiet Place 2 masih sebuah karya wajib tonton!