GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) merampas 255 kotak produk ubatan tradisional Lianhua Qingwen Jiaonang yang didakwa boleh merawat Covid-19 dalam serbuan di beberapa premis di negeri ini sejak Julai tahun lalu hingga 25 Jun lalu.
Menurut Pengarah JKNPP, Datuk Dr. Asmayani Khalib, kesemua produk dirampas bernilai RM7,000 itu juga disyaki tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
Produk tersebut dipercayai dibawa masuk secara haram dari China.
“Seramai 15 pegawai penguat kuasa Farmasi JKNPP terlibat dalam Ops Tonkerbell, Ops Prangin, Ops Dapur dan Ops Yao pada 27 Julai tahun lalu serta 18, 23 dan 25 Jun lepas.
“Produk tidak berdaftar ini dijual dengan dakwaan ia berkesan dalam merawat Covid-19 dan dikhuatiri akan mengelirukan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Asmayani berkata, serbuan telah dijalankan ke atas rumah kediaman, kedai makan, kedai ubat Cina dan kiosk di sebuah pusat beli-belah. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929