SHAH ALAM – Sebanyak 2.3juta dos vaksin telah diberikan kepada rakyat Selangor menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat hari ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu adalah tertinggi bagi sesebuah negeri di negara ini dengan 12.02 peratus rakyat Selangor telah lengkap menerima dua dos vaksin.
“Tambahan kepada Program PICK iaitu Program Vaksin Selangor (SelVAX) pula mencatat pemberian 57,339 dos setakat semalam.
“Kadar vaksinasi harian semalam telah mencecah 114,416 dos, tidak termasuk dengan program SelVAX yang sedang giat diperluaskan dan telah mencecah pemberian hampir 58,000 dos sejak dimulakan. Kadar vaksinasi ini akan dipertingkatkan dari masa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini.
Beliau turut memberitahu, peratus penggunaan vaksin di Selangor adalah 78 peratus berdasarkan bekalan yang diterima dari Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) Persekutuan.
Amirudin menjelaskan, baki vaksin berjumlah 618,000 dos telah diberi temujanji untuk tempoh tujuh hari mengambil kira jumlah vaksinasi harian kini mencecah 115,000.
“Kerajaan Negeri akan terus mempertingkatkan pemberian vaksin sebagai salah satu langkah utama untuk kita menewaskan wabak Covid-19,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929