PETALING JAYA – Meskipun video-video dakwah kecilnya menerima kecaman netizen, pelakon cantik Aishah Azman tidak akan serik untuk terus berkongsi ilmu berkaitan hukum-hakam agama dalam media sosial.
Terbaharu, hantara video mengenai hukum mencuci tuala wanita menuai perhatian ramai sehingga ada yang berpendapat Aishah bukan individu yang layak untuk berkongsi tentang perkara tersebut.
Bahkan ada yang menganggapnya ingin mengajar wanita lain menjadi seorang pengotor kerana menulis bahawa hukum mencuci tuala wanita adalah sunat.
Enggan mengambil pusing kritikan netizen, pelakon drama Suri Katriana itu memberitahu, niatnya hanya untuk berkongsi ilmu dan hukum mengenai perbuatan mencuci tuala wanita.
“Niat saya cuma hendak berkongsi mengenai hukum menjaga kebersihan tuala wanita yang telah digunakan kerana beranggapan masih ramai yang tidak tahu tentang perkara tersebut.
“Namun, saya tidak ajar pula mereka supaya jadi pengotor. Jika wanita itu nak pilih untuk tidak mencuci perlulah seiring dengan cara yang betul iaitu balut rapi dan jaga kebersihan,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Tambah pemilik nama lengkap Nor Aishah Afika Azman Shah itu, bagaimanapun hukum yang dikongsinya itu hanya terpakai ketika keadaan darurat.
“Hukum yang saya kongsi digunapakai ketika darurat, seperti berada di hutan.
“Saya juga hendak tekankan bahawa Islam itu mudah dan sangat bersih. Apapun, saya tidak mendesak dan terpulang kepada individu sama ada hendak cuci atau tidak,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia juga tidak akan serik untuk terus berkongsi hukum dan ilmu berkaitan agama kepada orang ramai.
“Saya tidak akan serik. Malah sebelum berkongsi ilmu saya akan baca dahulu kenyataan daripada mufti.
“Rasa berdosa jika tak kongsi perkara yang sahih kepada orang ramai. Harap penyampaian saya sampai dan jelas kepada semua yang baca,” tutur adik kepada pelakon Afiq Muiz itu.
Terdahulu, Aishah berkongsi sebuah video mengenai hukum membersihkan tuala wanita dalam TikToknya.
Antara kandungan yang dinyatakan Aishah dalam video tersebut ialah hukum mencuci tuala wanita tidak wajib, sunat ditanam dan harus dibuang ke dalam tong sampah. – K! ONLINE