MANCHESTER – Manchester United dilaporkan semakin hampir untuk menyelesaikan urusan perpindahan pemain pertahanan Real Madrid, Raphael Varane ke Old Trafford apabila rundingan mengenai terma peribadi sudah mendapat kata sepakat.
Sumber memberitahu, United sudah tidak jauh daripada impian mereka membawa pemain bek tengah Perancis itu ke England dan ia mungkin bakal diselesaikan dalam tempoh beberapa minggu dari sekarang.
Varane dilaporkan mahu terus ke Manchester selepas cuti musim panas berbanding kembali semula ke Madrid untuk mengharungi sesi latihan pramusim bersama Real.
Real terdesak untuk menjual Varane yang masih berbaki kontrak setahun bagi mengelakkannya meninggalkan pasukan itu secara percuma selepas enggan menandatangani kontrak baharu.
Biarpun urusan rundingan Real dan United dilihat agak perlahan tetapi ia berjalan dengan lancar dan Varane juga dikatakan sudah nekad untuk menyertai United biarpun ada beberapa pasukan lain yang cuba memancing khidmatnya.
Real dilaporkan mahu menjualnya dengan nilai £80 juta (RM465.57 juta), tetapi dengan baki kontrak setahun Varane, ia agak mustahil dan United dipercayai akan mendapat khidmat pemain itu dengan harga yang lebih murah iaitu di bawah harga £50 juta (RM290.98 juta). – AGENSI