fbpx

Tingkat pengeluaran, elak krisis makanan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

INDUSTRI pengeluaran makanan merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara dan mempunyai permintaan yang tinggi dan berterusan.

Namun, pandemik Covid-19 telah menyebabkan kemerosotan perdagangan, memperlahankan pertumbuhan ekonomi berkaitan dengan industri makanan dan menyebabkan kadar pengangguran yang tinggi.

Oleh kerana sekatan terhadap pergerakan dan perniagaan, rantaian pengeluaran dan bekalan menjadi terancam sehingga menyebabkan beberapa negara mengekang eksport ke negara-negara lain termasuklah bekalan makanan.

Keadaan seperti ini menyebabkan keresahan rakyat tentang kecukupan bekalan makanan domestik, terutamanya sepanjang berdepan dengan wabak Covid-19 ketika ini.

Buktinya, rakyat membuat pembelian panik walaupun sebelum kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 baru-baru ini.

RAKYAT melalukan pembelian panik apabila kerajaan mengumumkan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).- GAMBAR HIASAN

Industri pengeluaran makanan dikira perkara strategik kerana ia melibatkan keselamatan atau survival bagi penduduk dan negara.

Pengeluaran makanan daripada sektor pertanian menjadi agenda penting negara.

Industri seperti makanan tradisional,sejuk beku, francais dan pelbagai industri makanan lain masih mendapat permintaan tinggi terutama dalam tempoh PKP.

Malah, kepentingan pengeluaran makanan telah menjadi objektif dalam Dasar Pertanian Negara iaitu untuk meningkatkan keselamatan makanan dan memerangi inflasi.

Antara strategi utama adalah meningkatkan pengeluaran makanan utama dengan kos kompetitif.

Potensi perniagaan dan pelaburan dalam industri makanan di negara ini masih luas, kerana kita masih bergantung kepada dunia luar dalam mendapatkan sumber makanan.

Walaupun PKP bertujuan memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19, namun kesannya terhadap isu keselamatan makanan di negara ini perlulah memfokuskan persoalan ketersediaan, akses, penggunaan dan kestabilan makanan.

Bekalan makanan dijamin mencukupi sepanjang tempoh PKP, namun ketersediaan makanan dijangkakan terkesan untuk jangka masa panjang.

Sektor pembuatan makanan seperti kumpulan makanan dan minuman, pengilangan beras dan keperluan makanan asas lain yang mana produk tersebut menjadi keperluan pengguna sepanjang Covid-19.

Industri ini juga dikategorikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai perkhidmatan perlu dan dibenarkan beroperasi semasa PKP berlangsung.

Namun, desakan ramai pihak supaya kilang ditutup kerana terus mencetuskan kluster yang menyumbang peningkatan kes Covid-19 ketika ini, menyebabkan beberapa kemungkinan akan memberi kesan kepada rakyat secara keseluruhan.

Jika kilang dan operasi industri makanan terpaksa ditutup dalam jangka panjang kerana peningkatan kes positif Covid-19, kesannya mungkin boleh menyebabkan krisis makanan atau inflasi di negara ini.

Walaupun kes positif Covid-19 melibatkan sektor tersebut hanya melibatkan lima hingga 10 peratus, peningkatan kes harian yang terus ‘mencemaskan’, kemungkinan PKP akan dilanjutkan lagi.

Walaupun aktiviti pengimportan makanan masih berjalan, ia tidak serancak seperti sebelum penularan wabak ini, memandangkan negara pengeksport utama barangan termasuk produk makanan seperti China, Jepun, Amerika Syarikat, Thailand dan Indonesia turut bergelut dengan pandemik.

Beberapa negara contohnya Vietnam telah mengumumkan tidak menandatangani kontrak eksport beras
yang baharu buat sementara waktu bagi memastikan bekalan domestik mereka mencukupi.

Seandainya negara pengeksport beras lain seperti Thailand, Pakistan, Myanmar dan Kemboja juga melakukan pendekatan sama, ia menimbulkan kebimbangan tentang sekuriti makanan global untuk masa hadapan.

Satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan oleh kerajaan bagi memastikan bekalan makanan dan barang keperluan lain mencukupi semasa tempoh kuarantin.

Bagaimanapun, pendekatan jangka panjang mengenai sekuriti makanan perlu disentuh kerana kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna, terutamanya selepas peningkatan kes wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Kekurangan pengeluaran makanan boleh menyebabkan bekalan berkurangan dan terganggu.

Ini boleh mengakibatkan inflasi dan kenaikan harga barang yang ketara.

Dalam pada itu, bagi menangani peningkatan kes Covid-19 di kilang, pendekatan strategik juga boleh dilakukan agar kerajaan mempercepatkan vaksinasi untuk membolehkan sektor pengeluaran dan pengilangan makanan beroperasi sepenuhnya.

Proses vaksinasi pekerja pembuatan makanan meliputi pekerja tempatan dan asing wajar dilakukan di kilang, tanpa perlu membawa mereka ke pusat pemberian vaksin.

Pandemik ini muncul sebagai iktibar agar kita tidak alpa dan bertindak proaktif untuk menilai dan menganalisis pembaharuan dalam industri pengeluaran makanan negara agar krisis makanan dapat diatasi sebaik mungkin.

—————————————————————————————————————————————

PROF. DATUK DR. ISMAIL SUALMAN, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI