PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik keputusan kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas isu-isu berbangkit mengenai TH hasil pengauditan perunding-perunding dari tahun 2014 hingga 2020.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Sri Amrin Awaluddin berkata, TH akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya tersebut berdasarkan lunas-lunas perundangan.
“TH berpendapat bahawa hasil siasatan dan pandangan dari RCI kelak dapat membantu TH menambah baik dari segi pengurusan dan aspek tadbir urus.
“Aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin khususnya para pendeposit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, TH telah dan sentiasa berusaha untuk melaksanakan proses penambahbaikan terhadap operasi dan urus tadbirnya demi kepentingan para pendeposit.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan akan menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji hasil persetujuan mesyuarat jemaah menteri yang bermesyuarat pada Rabu. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929