JAKARTA – Penyanyi dan pelakon popular Indonesia, Irwansyah mengesahkan dirinya kini positif Covid-19.
Perkongsian duka tersebut dilakukannya menerusi saluran YouTubenya, The Sungkars Family semalam.
Menurut Irwan, 36, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang simptom kronik akibat jangkitan virus maut berkenaan.
“Saya telah disahkan positif, tapi Alhamdulillah masih dapat dikawal,” katanya.
Susulan daripada itu, Irwansyah kini menjalani kuarantin di bilik anaknya, Ukkasya Muhammad Syahki yang dilahirkan pada 30 Mac lalu.
“Sedih kerana terpaksa berpisah sementara waktu dengan anak dan isteri. Kami berkomunikasi menerusi panggilan video,” katanya.
Difahamkan Irwansyah menerima jangkitan berkenaan daripada adiknya.
Sementara itu, isterinya, Zaskia Sungkar dan anaknya negatif virus tersebut.
Terdahulu beberapa selebriti Indonesia turut dilaporkan dijangkiti Covid-19 seperti Bunga Citra Lestari, Ashanty dan Afgan. -K! ONLINE