PETALING JAYA – Situasi jangkitan Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga Datin Rebecca Nur Al Islam memasuki episod baharu situasi kesihatan suaminya, Datuk Norazam Sulaiman semakin kritikal iaitu berada pada tahap empat.
Perkara tersebut dikongsi Rebecca dalam sesi siaran langsung di Instagramnya hari ini.
Dalam video tersebut juga, Rebecca juga tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan keadaan suaminya yang sedang dirawat di hospital.
Kongsinya, ketika menghubungi lebih 20 hospital ibu kota dan Selangor, tiada satu pun mahu menerima suaminya yang memerlukan bantuan oksigen dengan segera susulan pertambahan pesakit positif Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini.
“Saya terpaksa tinggalkan kesemua anak-anak yang positif Covid-19 buat sementara waktu kerana perlu menemani suami yang kritikal semalam. Ketika tiba di sebuah hospital swasta, kami diberitahu perlu menunggu giliran kerana jumlah pesakit yang ramai dan padat.
“Percaya atau tidak, saya dan suami perlu menunggu hampir dua jam di tepi jalan di dalam ambulans.
Tambah Rebecca, dia juga mengakui berdegil untuk tidak membawa suaminya dirawat di hospital kerajaan atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.
“Saya juga degil kerana tidak mahu membawa suami ke hospital kerajaan kerana sangat takut jika keadaan suami akan bertambah teruk selepas melihatkan situasi di hospital swasta yang menakutkan.
“Selepas puas berfikir, saya akhirnya bawa suami ke sebuah Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) kendalian klinik swasta. Alhamdulillah, suami saya akhirnya menerima bantuan oksigen namun doktor memaklumkan dia kini berada di tahap 4 Covid-19,” katanya.
Ujar Rebecca lagi, suaminya kini menerima rawatan di sebuah pusat perubatan swasta selepas menerima panggilan sekitar jam 10.30 malam semalam.
“Ketika berada di wad kecemasan hospital terbabit, saya sangat sedih apabila melihat suami pertama kali menangis di depan saya. Berkali-kali dia beritahu jangan tinggalkannya dan mohon saya berada di sisinya.
“Namun saya diberitahu yang saya tidak dibenarkan untuk menemaninya kerana dia akan ditempatkan di wad yang lebih ketat kerana keadaannya yang sudah berada di tahap 4 ke 5,” ujarnya.
Dalam video sama, Rebecca turut berkongsi keadaan kesihatan enam anaknya yang semakin pulih.
“Alhamdulillah setakat hari ini anak-anak semua tidak demam cuma dua pembantu saya kini perlu dibawa ke hospital kerana sesak nafas.
Sementara itu, dia juga memberitahu kerisauan dan kepadatan di beberapa PKRC antara punca dia memilih untuk menjalani tempoh kuarantin di rumah bersama keluarga.
“Selepas disahkan positif Covid-19, kami sepakat untuk menjalani kuarantin di rumah. Saya takut untuk membawa keluarga dan pembantu ke PKRC kerana keadaan di sana sangat padat.
“Oleh itu, saya mohon kepada kerajaan untuk memahami apa yang rakyat lalui ketika ini. ‘Total lockdown’ perlu dilaksanakan.
“Penyakit ini sangat bahaya dan jahat, kalau tidak semakin ramai yang akan mati, jatuh sakit serta kehilangan insan tersayang,” katanya yang sudah pun mendapatkan dua dos vaksin sebelum disahkan positif Covid-19.
Terdahulu, Kosmo! pada 8 Julai lalu melaporkan Rebecca berkongsi berita mengenai seluruh ahli keluarga termasuk tiga pembantu rumah disahkan positif Covid-19. – K! ONLINE