ROM – Pasukan Itali diberi sambutan bagaikan wira selepas berjaya menamatkan kemarau 53 tahun kejuaraan Eropah apabila memenangi pentas final dengan menewaskan England menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Wembley awal pagi Isnin lepas.
Skuad Itali kendalian Roberto Mancini terus pulang ke tanah air pada kelmarin sebelum diarak di seluruh bandaraya Rom dengan menaiki bas terbuka untuk bertemu dengan Presiden Itali, Sergio Mattarella dan Perdana Menteri, Mario Draghi.
Mattarella berkata, apa yang dilakukan oleh skuad The Azzurri untuk menjuarai trofi berprestij itu adalah sesuatu yang luar biasa terutama melihat kelebihan yang dimiliki oleh pasukan England kendalian Gareth Southgate.
“Di atas kertas, kita bukanlah pilihan kerana kelebihan sudah tentu dimiliki oleh pasukan lawan yang beraksi di gelanggang keramat mereka selain berjaya meledak gol awal yang boleh membunuh semangat barisan pemain.
“Justeru, apa yang pasukan Itali lakukan untuk membawa pulang trofi ini cukup luar biasa dan mereka telah memberi kebanggaan buat seluruh rakyat negara ini. Situasi sama juga layak diberi kepada Matteo Berrettini yang berjaya bergelar naib juara Kejuaraan Wimbledon minggu lalu.
“Mereka semua adalah perwira buat negara khususnya pasukan Itali yang telah membuktikannya sepanjang tujuh perlawanan lepas bahawa mereka mampu menang dalam keadaan cukup harmoni serta semangat kekeluargaan yang tinggi,” katanya.
Selepas itu, skuad Itali berkunjung ke kediaman rasmi Draghi di Palazzo Chigi dan turut menerima sambutan mesra daripada pemimpin No. 1 negara itu.
Kata Draghi, pujian tertinggi wajar diberikan kepada barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Mancini selain kepimpinan jitu menerusi ketua pasukan, Giorgio Chiellini untuk memastikan kejuaraan berjaya diraih.
“Bagi pihak kerajaan, saya mengucapkan jutaan tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Itali, Mancini dan pemain kerana berjaya melakar sejarah membawa pulang trofi ini buat kali pertama dalam tempoh 53 tahun.
“Mereka telah kembali menyatukan semangat rakyat negara ini sekali gus membuktikan masa depan bola sepak Itali sangat cerah dan saya mengucapkan selamat maju jaya pada masa akan datang,” katanya. – AGENSI