PETALING JAYA – Luluh hati orang ramai apabila menonton sidang media Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah (DG Hisham) yang kelihatan sebak ketika menjelaskan kes Covid-19 yang mencecah 11,079 kes tular di laman Twitter sejak semalam.
Menerusi video berdurasi 13 saat yang dimuat naik oleh @_NazriH memaparkan sidang media kes Covid-19 oleh DG Hisham dan mendengar suara beliau yang kelihatan sebak dan terketar-ketar setelah meminta seluruh rakyat Malaysia mengambil vaksin.
“Jadi saya harap rakyat Malaysia boleh tampil ke depan untuk mendapatkan vaksin, terima kasih,” jelas DG Hisham sebak.
Lantaran hal itu, pengguna laman Twitter turut berasa sedih dan sebak setelah mendengar suara DG Hisham yang terketar-ketar ketika memberikan penerangan ketika sidang media itu berlangsung.
“Beliau dah pakai ‘double mask’ dan face shield (topeng muka). Takkan nak tunggu DG Hisham buat sidang media pakai peralatan perlindungan diri (PPE) baru para menteri mahu ambil serius keadaan di Malaysia sekarang?” soal pengguna @penatdudukrumah.
“Sebak saya tengok video ini. Memang nampak beliau kena kuat dengan para petugas barisan hadapan. Ya Allah, berikanlah kekuatan dan kesabaran kepada mereka ya Allah,” jelas @heymai sebak.
“Beliau dah penat lelah nak tengok kes makin meningkat. Dengan suaranya yang tidak diendah,” kata pengguna @MuhdSafeee sedih.
“Rindu senyuman beliau. Saya masih ingat lagi semasa kes masih sifar, beliau senyum sampai ke telinga. Sekarang, beliau perlu tahan sebak,” ujar @sveralll23. – K! ONLINE.