LONDON – Pengunjung sebuah taman percutian di Cornwall disuruh membersihkan tandas sendiri memandangkan pekerjanya sedang menjalani kuarantin, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Dalam satu e-mel bertajuk ‘Dunkirk Spirit’, pengunjung Mother Ivey’s Bay Holiday Park, pengunjung diminta membantu membersihkan blok tandas di tengah-tengah taman ekoran kebimbangan kekurangan staf semasa percutian musim panas.
Pemiliknya, Patrick Langmaid, 56, berkata dua pekerja diminta untuk menjalani kuarantin selama 10 hari selepas menerima notifikasi daripada aplikasi Test and Trace Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).
Situasi itu menyebabkan dia terpaksa meminta pengunjung supaya bersedia untuk membantu kerja-kerja pembersihan.
“Tetamu yang terhormat, maaf jika e-mel ini menimbulkan kesusahan namun, kami hampir menutup blok tandas dan membatalkan percutian lawatan kerana kakitangan sihat yang telah diuji negatif tetap perlu mengasingkan diri selepas mendapat arahan daripada NHS.
“Dengan bantuan anda, blok tandas boleh terus dibuka dan percutian dapat diteruskan. Tempoh tersebut adalah bermula sekarang hingga penghujung Ogos depan,” demikian tulisan pada e-mel tersebut yang dihantar kepada bakal pengunjung.
Taman percutian itu menjangkakan undang-undang tersebut akan diubah sebelum September dan pekerja dengan keputusan negatif bagi ujian saringan akan dibenarkan kembali bertugas.
E-mel itu turut menulis sekiranya taman tersebut terpaksa membatalkan percutian, wang pelanggan akan dikembalikan.
Seorang pelanggan yang tidak berpuas hati bagaimanapun mempersoalkan permintaan pihak taman percutian tersebut yang menyebabkan pelanggan berasa serba-salah.
“Saya tidak sangka percutian boleh dibatalkan jika saya enggan membersihkan tandas komuniti.
“Tindakan meminta pelanggan yang sudah membayar kos percutian untuk membersihkan tandas adalah sesuatu yang tidak wajar,” katanya. -Agensi