SUDAH lebih setahun pandemik Covid-19 menyerang dunia, namun ramalan situasi akan berubah semakin baik pada tahun ini meleset sama sekali.
Natijahnya, kemunculan varian Delta memaksa dunia menukar paradigma dalam menangani wabak yang tak kunjung reda ini.
Kalau dahulu, kerajaan-kerajaan di dunia meletakkan optimis pada peringkat berkurung, penjarakan fizikal dan kempen vaksinasi massa untuk mengembalikan kehidupan normal, namun hakikatnya kejayaan masih belum dikecapi.
Berikut penulis ceritakan secara ringkas tentang isu dan situasi pandemik ketika ini.
Pertama, langkah drastik seperti perintah berkurung yang dilaksanakan di sebilangan lokasi di dunia dan dahulunya berkesan, kini tidak atau belum membuahkan hasil contohnya di Indonesia di mana kes harian dan angka korban belum surut.
Malah, di Sydney dan negeri New South Wales, kes terus meningkat pada hal, peringkat berkurung yang dilaksanakan dikatakan cukup ketat.
Satu-satunya negara yang masih berjaya memutuskan rantaian Covid-19 melalui perintah berkurung ialah China. Mengapa begitu? Itu satu persoalan yang harus diteliti.
Perkembangan kedua membabitkan jangkitan terhadap ribuan doktor dan petugas kesihatan walaupun mereka sudah menerima dua dos lengkap vaksin terutamanya vaksin Sinovac seperti dilaporkan di Indonesia dan Thailand.
Perkara itu berlaku selepas kemunculan varian Delta. Setakat ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu tersebut khususnya tentang keberkesanan Sinovac terhadap varian Delta.
Namun, beberapa negara telah bertindak secara unilateral termasuk Singapura yang tidak menyenaraikan penerima vaksin Sinovac dalam daftar pelalian negara itu.
Negara Gajah Putih pula bersetuju rakyatnya yang mendapat dos pertama suntikan vaksin Sinovac diberikan pelalian berbeza bagi dos kedua, sama ada Pfizer atau pun AstraZeneca.
Campuran vaksin tersebut bagi meningkatkan keberkesanan imunisasi penerima untuk melawan varian Delta berdasarkan beberapa kajian sebelum ini.
Perkembangan ketiga adalah ketidakadilan agihan vaksin yang menyaksikan negara dunia ketiga berdepan gelombang jangkitan tidak terkawal.
Jika situasi tersebut dibiarkan berlarutan, akan ada varian baharu yang lebih menggerunkan berbanding varian Delta dan tidak mustahil, varian baharu bersifat kebal vaksin juga akan muncul.
Situasi tersebut perlu ditangani segera dengan apa cara sekali pun kerana perkara paling kita takuti adalah kita mencapai imunisasi kelompok dengan cara kedua iaitu jangkitan menjadi terlalu tinggi sehingga hampir semua orang telah dijangkiti dan mereka yang ‘terselamat’ akan mempunyai antibodi Covid-19.
Perkara itu pernah berlaku di beberapa kawasan di dunia, ya imunisasi kelompok dicapai tetapi harga yang dibayar sangat mahal kerana akan banyak juga nyawa manusia yang melayang. -K! ONLINE