ALOR GAJAH – Seorang lelaki dipercayai guru ditemui meninggal dunia di rumahnya di Taman Lendu, di sini, hari ini.
Mangsa yang berusia dalam lingkungan 52 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan duduk di kerusi oleh pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Zamri Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 12.40 petang.
Katanya, sepasukan enam anggota dikejarkan ke lokasi bagi melakukan operasi penyelamatan mangsa terkunci dalam rumah.
“Pasukan bomba tiba pada pukul 12.47 petang dan bertindak memecahkan pintu rumah tersebut untuk masuk ke dalam.
“Kita kemudian mendapati mangsa lelaki dipercayai seorang guru tidak sedarkan diri dalam keadaan duduk di kerusi sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke Hospital Alor Gajah. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929