PETALING JAYA – Sebut sahaja nama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, pasti ramai sudah terbayang segala penat lelah dan usahanya memerangi pandemik Covid-19 di negara ini.
Perkara tersebut turut dirasai oleh pelakon dan pengacara jelita, Mira Filzah, 28, yang berpendapat, dunia terutama Malaysia memerlukan lebih ramai insan seperti Noor Hisham.
Pujian tersebut ditulis heroin drama Pujaan Hati Kanda itu menerusi InstaStorynya malam tadi yang turut memuat naik sedutan video memaparkan Noor Hisham sedang berucap dalam sidang akhbar laporan kes Covid-19 semalam.
“Kita memerlukan lebih ramai insan seperti dia (Noor Hisham) diikuti dengan emoji berbentuk hati,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, isteri kepada arkitek Wan Emir Astar itu turut menitipkan doa agar Noor Hisham sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik.
“Semoga Allah SWT memberi kesihatan yang baik untuk Noor Hisham sehingga ke akhir hayatnya dan merahmati serta memberkati segala usaha yang telah beliau lakukan,” tulisnya lagi.
Sementara itu, selain Mira, penyanyi, Ayda Jebat, 29, turut berharap Noor Hisham terus kuat untuk bersama-sama rakyat Malaysia mengekang penularan virus maut tersebut.
“Dengar suara pun kita boleh rasa dia (Noor Hisham) sedih dan penat. Tolong terus kuat untuk kami,” tulis pelakon drama Bukan Gadis Biasa itu dalam InstaStorynya semalam.
Noor Hisham merupakan antara individu yang sering meraih pujian rakyat Malaysia dengan usaha dan pengorbanannya dalam bersama-sama memerangi penularan virus Covid-19 sejak tahun lalu.
Malah, Kosmo! pada 21 Disember tahun lalu melaporkan Noor Hisham pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas MeleTOP ERA 2020 (AME 2020) sebagai tanda penghargaan atas tugas cemerlangnya.
Untuk rekod, pada 17 Ogos tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) membawa gelaran Tan Sri kepada beliau pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2020 di Istana Melawati hari ini. – K! ONLINE