GEORGE TOWN – Jenayah kecurian dan keganasan rumah tangga di negeri ini dilaporkan meningkat dalam tempoh enam bulan tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, biarpun kes jenayah secara keseluruhannya menurun 22.1 peratus, kes kecurian harta benda menunjukkan pertambahan 48.2 peratus, manakala keganasan rumah tangga naik 26 peratus.
Beliau berkata, sebanyak 768 kes kecurian di tempat bebas serta di dalam bangunan, kenderaan dan kedai dilaporkan sejak Januari hingga Jun tahun ini berbanding 518 kes tahun lalu iaitu meningkat 250 kes.
“Bagi keganasan rumah tangga, 239 kes direkodkan berbanding tempoh sama tahun lalu hanya 177 kes iaitu meningkat 62 kes.
“Keseluruhan kes jenayah turun 461 kes iaitu 1,623 kes dicatatkan tahun ini berbanding 2,084 tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Mohd Shuhaily mengadakan sidang akhbar pertamanya selepas menggalas jawatan tersebut berkuat kuasa 1 Julai lalu. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929