PONTIAN – Isu seorang pesara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang gagal mengeluarkan wang pencen disebabkan terlupa kata laluan kad pengeluaran wang automatik (ATM) berjaya diselesaikan.
Menurut anaknya, Ridhuan Mohd. Ismail, Pengurus Maybank Cawangan Pontian telah datang ke rumahnya pagi ini sebelum dia bersama ibunya, Kasmini Suratal hadir ke Maybank bagi urusan pemindahan wang pencen ayahnya kepada ibunya.
Katanya, bagaimanapun bagi peringkat awal ini, pihak Maybank telah mengeluarkan wang tunai sebanyak RM2,000 kepada ibunya, manakala proses pemindahan pencen akan dilakukan pada minggu depan.
“Alhamdulillah semua sudah selesai, terima kasih kepada pihak Utusan Malaysia dan Kosmo yang telah menyiarkan isu yang melibatkan ayah saya hari ini.
“Pihak Maybank memerlukan persetujuan adik-beradik yang lain terutama empat adik-beradik lelaki sebelum pemindahan pencen dilakukan kepada ibunya supaya tiada isu berbangkit pada masa depan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan seorang pesara Kementerian Kesihatan yang terlantar sakit berdepan masalah ekoran wang pencen bulanan yang diterimanya tidak dapat dikeluarkan sejak April lalu yang berjumlah RM800 sebulan.
Ini berikutan Mohd. Ismail Markom, 71, yang terlupa kata laluan kad pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya tidak berupaya untuk membuat kad baharu ekoran keadaan diri selepas terlibat kemalangan jalan raya, 22 April lalu.
Menurut anaknya, Ridhuan, 35, dia telah beberapa kali cuba berurusan dengan institusi kewangan berkenaan bagi mendapatkan kad ATM yang baharu, namun ditolak oleh pihak bank tersebut.
Tambah Ridhuan, dia juga turut dihubungi oleh Pegawai dari Bank Negara Malaysia ( BNM ) Johor Bahru malam tadi yang akan membantu menyelesaikan isu tersebut supaya pencen ayahnya dapat dikeluarkan. – K! ONLINE