PETALING JAYA – Selepas empat bulan berkahwin, pelakon Risteena berbangga kerana dikurniakan seorang suami yang baik dan mampu mencorakkan kemanisan alam berumahtangga mereka berdua.
Menerusi hantaran dalam Instagramnya, Risteena atau nama lengkapnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 32, berkata, dia berasa sangat bertuah kerana bergelar isteri kepada Isa Khan.
Risteena berkongsi sebuah video memaparkan Isa sedang tekun belajar mengaji secara online bersama seorang ustaz yang memantau bacaannya.
“Pada saat ramai masih tidur sesudah Subuh, suami saya pilih mengaji al-Quran secara panggilan video dengan ustaz untuk pastikan bacaannya betul.
“Semangat bangun seawal pagi untuk solat tahajud dan solat sunat sehingga Subuh. Kemudian terus mengaji,” tulis Risteena.
Tambah pelakon filem Blok 404 itu lagi, suaminya gigih bangun pagi dan memperbanyakkan amalan kerana ingin mengumpul pahala pada bulan Zulhijjah.
“Puasa tak nak tinggal 10 hari. Inilah suami saya. Sangat bangga nak berkongsi tentang ini sebab saya sangat bersyukur memiliki awak sebagai suami.
“Semoga Allah merahmatimu suami dan mudahkan segala urusan awak sayang,” katanya lagi.
Isa menerusi ruangan komen turut memohon dikurniakan iman dan takwa dalam dirinya untuk memimpin isterinya ke syurga.
Malah, perkongsian Risteena turut menuai pujian ramai yang menyifatkan pelakon itu bertuah kerana dikurniakan seorang suami yang bertanggungjawab untuk membimbingnya ke syurga.
“Ustaz kata, salah satu hidayah datang menerusi perkahwinan. Tahniah adik berdua. Semoga istiqamah bahagia hingga jannah,” tulis seorang netizen.
Untuk rekod, Risteena dan Isa mendirikan rumah tangga pada 12 Mac lalu dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. – K! ONLINE