ALOR SETAR – Kehidupan sebuah keluarga di Kampung Keriang Pulau dekat sini berubah apabila ibu kepada tiga anak, Nusratina Mohd. Saad, 34, menghidap kanser darah atau limfoma kira-kira dua tahun lalu.
Menurut Nusratina, kesihatannya semakin merosot apabila badannya menjadi lemah sehingga tidak lagi mampu berdiri lama dan berjalan sejak setahun lalu.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkan suaminya, Mohamad Safwan Abu Bakar, 34, terpaksa berhenti bekerja sebagai penghantar ayam.
“Suami terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan perhatian kepada saya dan tiga anak berusia empat, tujuh dan 11 tahun,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, dia pernah menjalani kemoterapi sebanyak enam kali pada tahun 2019 dan kesihatannya semakin baik selepas itu.
Bagaimanapun, keadaan berubah apabila wajahnya membengkak dan doktor mengesahkan sel kanser semakin aktif sejak Julai tahun lalu.
“Suami saya kini bekerja sebagai penghantar makanan, namun tempahan tidak banyak dan tempoh bekerja terpaksa dihadkan untuk menjaga saya,” ujarnya.
Nusratina berkata, keluarga setakat ini menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM500 sebulan selain sumbangan wang daripada saudara dan rakan-rakan untuk membeli barangan dapur.
“Saya perlu menjalani rawatan untuk memasukkan ubat brentuximaly setiap tiga minggu tidak lama lagi. Doktor menganggarkan kos rawatan itu boleh mencecah RM50,000,” ujarnya.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubunginya di talian 017-5097819 atau menyumbang ke akaun Bank Islam miliknya 02105020118160. -K! ONLINE