KUALA LUMPUR – Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan kini dalam proses persediaan bagi menerima kira-kira 100 pesakit Covid-19 Kategori 3, bermula esok.
Ketua Unit Kawalan Jangkitan HAT Tuanku Mizan, Dr. Sharifah Azlin Juliana Syed Zainal berkata, pihaknya kini di dalam tempoh persediaan menerima kemasukan pesakit Covid-19 itu yang akan dibuat secara berperingkat.
“Pesakit Covid-19 dimasukkan ke sini atas keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) dan setakat ini, kebanyakan pesakit dipindahkan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
“Setakat ini kita hanya ada 50 orang yang bertugas di wad pesakit Covid-19 yang beroperasi sejak Sabtu lalu dan kami kini sedang menunggu kemasukan kakitangan KKM serta peralatan bagi bilik Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan 20 kipas industri daripada Pertubuhan Sukarelawan Jalinan Nasional (Sarjana) di lobi HAT Tuanku Mizan di sini hari ini.
Menurut beliau, setakat ini seramai 50 pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 telah ditempatkan di wad rawatan Covid-19 yang terletak di parkir tingkat bawah hospital berkenaan.
“Bagi wad ICU pula, kami mempunyai sebanyak enam katil setakat ini namun jumlah pesakit telah melebihi kapasiti iaitu sebanyak enam pesakit jadi kita akan membuat penambahan kepada 17 buah katil lagi untuk memenuhi keperluan,” ujar beliau.
Jumaat lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaporkan telah menyediakan Zon Pengurusan Bencana (DMZ) sebagai wad rawatan pesakit Covid-19 di parkir tingkat bawah HAT Tuanku Mizan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, DMZ tersebut adalah untuk menampung keperluan rawatan pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat di Lembah Klang.
Dalam pada itu, Pengerusi Sarjana, Datuk Khaidiriah Abu Zahar berkata, sumbangan kipas tersebut adalah bertujuan untuk meringankan beban hospital disamping memberi keselesaaan kepada pesakit.
“Sumbangan itu juga sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada petugas barisan hadapan yang berkhidmat tanpa mengenal penat lelah sepanjang tugasan dan pengoperasian dalam berhadapan penularan pandemik Covid-19.
“Diharapkan sumbangan ini dapat menyuntik semangat petugas barisan hadapan untuk terus kekal tabah menjalankan tugas demi bakti kepada bangsa dan negara,”katanya.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929