PETALING JAYA – Penyanyi rap, Bunga Isme menawarkan ganjaran sebanyak RM500 kepada sesiapa sahaja yang terjumpa dan memulangkan semula kucing kesayangannya bernama Tatang yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Bunga Isme atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 21, memohon bantuan pengikutnya dalam Instagram supaya memaklumkan kepadanya jika terjumpa kucingnya yang hilang itu.
“Sesiapa yang tinggal berdekatan Jalan Putra Permai 8F, Seri Kembangan, Selangor, mohon pertolongan kalian kalau terjumpa kucing saya yang hilang,” katanya.
Dalam hantaran itu juga, penyanyi yang popular dengan imej berbaju kurung dan bertudung ketika membuat persembahan itu turut berkongsi poster gambar kucingnya jenis Munchkin Long Hair berwarna oren dan putih beserta ganjaran wang sebanyak RM500 kepada sesiapa yang menemuinya.
Menerusi hantaran berbeza, Bunga memberitahu dia telah puas mencari kucing itu di sekitar kawasan tempat tinggalnya termasuk di dalam longkang, Lorong dan semak-samuk sehingga dikejar anjing, namun masih tidak menemuinya.
“Saya masih belum menemui Tatang. Baliklah Tatang. Mummy (gelaran dirinya) rindu,” luahnya.
Pada masa sama, Bunga berharap kucingnya dijaga dengan elok jika ditemui oleh seseorang yang baik hati dan berharap supaya binatang peliharaannya itu dipulangkan semula.
“Terima kasih yang bagi saranan kepada saya. Harap dia (Tatang) balik dengan sihat atau masih dalam keadaan baik jika ditemui seseorang,” katanya. – K! ONLINE