GEORGE TOWN – Seorang lelaki yang didakwa terjun ke dalam laut berdekatan Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) di sini kononnya kerana tidak dibenarkan menaiki feri seperti yang tular di media sosial hari ini adalah tidak benar.
Penang Port Sdn. Bhd. (Penang Port) dalam satu kenyataan berkata, lelaki berkenaan tidak memasuki terminal itu untuk menaiki feri seperti didakwa.
“Dia juga tidak melompat dari SPCT seperti dakwaan berkenaan.
“Lelaki itu diselamatkan oleh pekerja Penang Port dengan memberikan pelampung selepas melihat dia terkapai-kapai di dalam laut pada Isnin lepas,” kata kenyataan itu.
Menurut Penang Port, lelaki tersebut kemudiannya dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai di sini untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu tular di media sosial yang mendakwa seorang lelaki tidak dibenarkan menaiki feri untuk ke Seberang Perai berikutan tiada surat kebenaran merentas daerah sebelum nekad terjun untuk berenang.
Beberapa gambar dan video rakaman orang awam turut dimuat naik ke laman sosial Facebook.
Sementara itu, Penang Port meminta orang ramai tidak menyiarkan berita tidak tepat di laman sosial bagi mengelakkan kekeliruan sehingga mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929