fbpx

Baru keluar dua hari, dijel lagi 2 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SELAYANG – Seorang bekas banduan yang baharu sahaja bebas dari penjara dua hari lalu atas kesalahan mencuri motosikal,  dihukum lagi penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan kesalahan sama minggu lalu.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhi hukuman itu terhadap S. Nagendran, 39, selepas dia
mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah memerintahkan Nagendran menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapnya pada 10 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mencuri sebuah motosikal milik tukang masak, Soon Tek Chai, 36, di hadapan sebuah kedai Kopitiam, Taman Seri Batu Caves, Gombak, di sini, antara pukul 7.10 petang dan 8.30 pagi, pada 9 hingga 10 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira faktor tertuduh ditangkap ketika sedang membawa motosikal yang dicuri dan sebelum ini telah dipenjara kerana kesalahan sama (curi motosikal).

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Peguam Kebangsaan (YBGK) M. Mariappan memohon hukuman ringan atas alasan dia masih menanggung isteri dan seorang anak.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu dalam kes ini mendapati motosikal miliknya yang di parkir di hadapan kedai tempat dia bekerja  telah hilang.

Ekoran itu dia kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Hasil rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), pihak polis telah menahan tertuduh dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI