fbpx

Bapa anak tiga berdepan denda RM150 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang bapa anak tiga berdepan hukuman denda sehingga RM150 juta selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima wang deposit pelaburan tidak wujud, lima tahun lalu.

Tertuduh, Iskandar Isahak, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin.

Mengikut pertuduhan satu hingga tiga, tertuduh didakwa telah menerima wang deposit pelaburan daripada tiga individu berjumlah keseluruhan RM125,000.

Kesemua wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun CIMB atas nama syarikat I Usahawan Global Berhad milik tertuduh tanpa suatu lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Jalan Hang Tuah dalam daerah Melaka Tengah antara 10 Mei 2016 sehingga 27 Jun 2016.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama.

Dalam prosiding berlainan, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Lee Kim Keat atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki dengan tawaran program pembelian motosikal berkuasa tinggi tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan cek bernilai RM32,000.

Tindakan itu dilakukan tertuduh di Jalan Durian Daun dalam daerah Melaka Tengah pada 25 Oktober 2016.

Bagi kesalahan itu, Iskandar didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Kim Keat kemudian memberikan jaminan sebanyak RM1,500 dan menetapkan 14 September depan sebagai sebutan semula kes.-K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI