fbpx

ATM urus mayat Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KLANG – Pergelutan pihak pe­ngurusan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini dalam menangani isu lambakan mayat pesakit Covid-19 yang mencetuskan kebimbangan masyarakat mendapat perhatian Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kebimbangan itu berikutan tular rakaman video di media sosial yang memaparkan keadaan mayat-mayat pesakit Covid-19 yang terpaksa diletakkan di atas lantai secara berlapis di HTAR selepas bilik mayat berada pada tahap kapasiti penuh.

Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi berkata, isu lambakan mayat pesakit Co­vid-19 di hospital tersebut akan segera diselesaikan dengan bantuan aset dan anggota ATM.

Menurutnya, kerjasama ATM itu adalah hasil perbincangan antara Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah dengan pihak ATM.

“Pihak ATM akan membantu mempercepatkan urusan untuk membawa mayat-mayat tersebut bagi proses pengebumian mengikut agama masing-masing dan aset-aset ATM juga boleh digunakan bagi tujuan ini.

“Hasil bantuan ATM nanti dapat menampung kekurangan pegawai inspektor kanan (IK) di Pejabat Kesihatan Daerah Klang. Sebelum ini, IK yang menguruskan pengebumian jenazah tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai penularan beberapa video berhubung kea­daan mayat yang banyak di HTAR sehingga terpaksa diletakkan di atas lantai di Jabatan Forensik hospital tersebut.

Zulkarnain memberitahu, mayat-mayat tersebut kesemua telah diketahui keputusannya iaitu positif Covid-19, namun beliau enggan menyatakan jumlah sebenar jenazah pesakit koronavirus yang berada di HTAR ketika ini.

Katanya, prosedur meletakkan tagging pada si mati terutama nama mereka dan butiran lain telah dilakukan dengan cukup teliti bagi memudahkan urusan pengebumian.

“Ketika ini, kesemua mayat tersebut telah diletakkan di dalam kontena sejuk (beku) de­ngan suhu negatif 11 darjah Celcius bagi mengelakkan berlaku pereputan mayat,” ujarnya.

Beliau berkata, masalah yang berlaku sebelum ini juga adalah disebabkan pihaknya tidak mempunyai peti simpanan mayat yang mencukupi, namun isu tersebut telah berjaya diselesaikan dan keadaan kini terka­wal.

“Secara keseluruhan, kami te­lah mempunyai tiga buah kontena di HTAR dan jumlah itu mencukupi.

“Dua kontena itu adalah hasil pemberian kerajaan daripada lapan kontena yang diagihkan di seluruh negeri ini, manakala satu lagi adalah sumbangan yang di­terima sebelum ini,” katanya.

Zulkarnain menjelaskan, kes kematian akibat jangkitan Co­vid-19 yang tinggi di hospital itu disebabkan kebanyakan pesakit yang dirawat terdiri daripada mereka dalam kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen.

“Mungkin mereka datang lambat untuk rawatan yang menyebabkan kebarangkalian untuk sembuh agak tipis.

“Justeru, kita berharap orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan selalu mencuci tangan serta tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan,” katanya.

Kelmarin, pihak HTAR dalam kenyataannya di Facebook menzahirkan penghargaan kepada parti MIC atas sumbangan sebuah kontena dalam menguruskan mayat-mayat pesakit ­Covid-19 di Klang khususnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI