LONDON – Kapten Itali, Giorgio Chiellini menegaskan, kejuaraan Euro 2020 sudah ditakdirkan menjadi milik mereka walaupun England meledak gol terpantas dalam sejarah Euro seawal minit kedua menerusi rembatan Luke Shaw.
Chiellini, 36, mengakui langsung tidak gusar kerana yakin piala itu tetap menjadi milik mereka jika perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Bintang veteran Juventus itu merasakan faktor utama kejayaan mereka disebabkan kehebatan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma sehingga dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.
Ia terbukti apabila The Azzurri bangkit mengikat kedudukan 1-1 menerusi Leonardo Bonucci sebelum mengecewakan England dengan kemenangan 3-2 sewaktu penentuan sepakan penalti di Stadium Wembley awal pagi semalam.
“Jika dulu kami ada Gigi (Gianluigi Buffon) tetapi sekarang kami ada Gigio (Donnarumma) yang berjaya memberikan aksi cemerlang.
“Bagi saya, kami berhak memenanginya. Malah, kami sebenarnya sudah dapat merasai perasaan ajaib ini sejak Mei lalu sebelum kejohanan bermula lagi bahawa Itali mampu melakar kejutan. Sekarang masa untuk meraikan kejayaan bersama seluruh rakyat Itali,” kata Chiellini.
Chiellini adalah sebahagian pemain daripada skuad Itali yang ‘berputih mata’ untuk menjuarai gelaran Euro 2012 selepas tewas 0-4 kepada Sepanyol pada aksi final edisi tersebut.
Kini, Chiellini sudah boleh memikirkan hasrat jika mahu ‘menggantung but’ dengan Itali kerana akhirnya berjaya menamatkan penantian menjuarai trofi pertama dalam karier antarabangsanya sejak membuat debut pada 2004. – AGENSI